Monday, August 10, 2009

Thursday, August 6, 2009

Jangan wariskan Talasemia


Pasangan yang ingin berkahwin disaran melakukan pemeriksaan darah bagi mengelak anak-anak yang bakal lahir menghidap talasemia. - Gambar hiasan


PERASAAN hairan dan ingin tahu pasti menghantui seseorang ibu apabila melihat bayinya yang berusia enam bulan masih tidak boleh merangkak dan juga meniarap hanya kerana terlalu kerap demam.

Malah anak itu juga tidak seaktif bayi lain yang seusianya, sebaliknya hanya terbaring dengan keadaan muka pucat dan tubuh tidak bermaya.

Setelah menjalani pemeriksaan rapi, doktor mengesahkan bayi tersebut menghidap Talasemia Major.

Apa yang lebih menyedihkan, selepas ayah dan ibu menjalani pemeriksaan darah, doktor mengesahkan mereka sebagai pembawa penyakit berkenaan.

Walaupun talasemia bukan penyakit berjangkit kerana ia tidak membabitkan sebarang kuman atau virus, tetapi ia adalah penyakit keturunan yang membabitkan pengeluaran sel darah merah dalam tubuh manusia.

Menurut Presiden Persatuan Talasemia Malaysia, Datuk Dr. Zulkifli Ismail, kekurangan itu boleh mengakibatkan kanak-kanak yang biasanya menjadi pesakit mengalami pertumbuhan tidak normal serta kesan terhadap fungsi jantung.

Di Malaysia saja, terdapat kira-kira 2,000 pesakit menghidap talasemia yang merupakan penyakit genetik melibatkan sel-sel darah merah.

Bahkan Talasemia adalah penyakit keturunan yang paling kerap ditemui di negara ini dengan tiga hingga lima peratus atau lima daripada 100 orang menjadi pembawa penyakit tersebut.

Tambah Dr. Zulkifli lagi, kanak-kanak menghidap talasemia kebiasaan menunjukkan gejala seperti wajah menjadi pusat serta perut kelihatan buncit.

"Puncanya adalah kekurangan satu zat pembentuk hemoglobin (Hb) sehingga menyebabkan pengeluaran Hb berkurang.

"Untuk terus hidup, pesakit perlu menjalani pemindahan darah memandangkan sel darah merah mereka mudah pecah menyebabkan pesakit mengalami kekurangan darah,'' katanya ketika memberi penerangan mengenai Talasemia di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr. Zulkifli memberitahu, untuk mengelak daripada penyakit ini 'hadir tanpa dijemput' seharusnya generasi muda mengetahui status dirinya yang sebenar sebelum berkahwin.

"Lebih membimbangkan, penyakit ini menyebabkan penghidapnya menderita sepanjang hayat,'' ujarnya.

Tambahnya lagi, kenapa perlu anak-anak ini hadir ke dunia jika mereka terpaksa menderita sepanjang hayat.

"Apa akan jadi kepada generasi negara ini pada masa akan datang, jika kita terus melahirkan mereka?,'' tegasnya.

Lebih menderita katanya lagi, setiap pesakit perlu menerima rawatan yang perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat minggu sekali bagi mengekalkan tahap Hb paling normal.

Namun apa yang lebih menakutkan lagi, Dr. Zulkifli berkata, jangka hayat mereka juga tidak panjang.

Justeru, beliau menyarankan, bagi mengenal pasti sama ada individu itu adalah pembawa talasemia atau sebaliknya, perkara harus dilakukan ialah menjalani ujian darah.

Katanya lagi, langkah itu dianggap terbaik buat masa ini bagi mencegah penyakit talasemia daripada terus 'diwarisi' dari satu generasi ke generasi yang baru.

Ini berikutan, benih talasemia boleh dibawa oleh sesiapa saja, tidak kira jantina atau keturunannya.

"Penyakit talasemia boleh dicegah dengan cara mengelak daripada berkahwin dengan pasangan pembawa penyakit berkenaan," katanya.

Kaedah berkenaan menurut Zulkifli, digunakan untuk mengurangkan risiko penyakit itu di sesetengah negara yang mempunyai kadar pembawa penyakit talasemia lebih tinggi.

"Ujian darah seumpama itu biasanya dilakukan sebelum pasangan berkahwin. Apabila pasangan terbabit mengetahui status penyakit itu, mereka boleh diberi penjelasan mengenai risiko penyakit yang mungkin dihidapi oleh anak serta keturunan mereka," ujarnya.

Langkah itu juga katanya, didapati berkesan dan boleh mengurangkan kadar penyakit terbabit hingga lebih 90 peratus kewujudan pesakit baru.

Tambah beliau, masyarakat tidak harus malu jika dikenal pasti pembawa talasemia. Sebaliknya langkah mereka membuat ujian darah adalah untuk kebaikan semua.

Nak Puasa ni mula lah nak naik macam2

4 punca gula susut di Perlis


PENGERUSI Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Perlis, Sabry Ahmad (kanan) bertanya sesuatu kepada Pengurus Pasaraya Sri Sena, Abdul Aziz Safar mengenai kehabisan stok gula di Kangar, Perlis, kelmarin.


KANGAR 5 Ogos - Spekulasi kononnya harga gula akan dinaikkan dalam masa terdekat, dikenal pasti menjadi salah satu faktor sehingga berlakunya kekurangan bekalan gula di Perlis.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Mohd. A. Aruwan Ab. Aziz berkata, ekoran spekulasi itu menyebabkan pengguna di negeri ini tidak mendapat bekalan di tahap normal.

"Disebabkan percaya kepada spekulasi tersebut, ia mendorong sesetengah pihak membeli bekalan dalam kuantiti agak besar sebagai persediaan awal menghadapi kenaikan harga gula.

"Itu merupakan salah satu daripada empat sebab yang kami peroleh sehingga Perlis menghadapi masalah bekalan gula sekarang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Faktor kedua pula, katanya, pengusaha industri makanan dan minuman yang berasaskan gula, membeli gula dalam jumlah terlalu besar atas faktor perniagaan selepas terpengaruh dengan spekulasi yang sama.

"Faktor ketiga pula yang menyebabkan berlakunya kekurangan gula pasir di pasaran Perlis adalah kerana permintaan berganda menjelang Aidilfitri.

"Sementara itu, penyebab keempat pula adalah penyeludupan ke Thailand kerana harga bahan tersebut di negara jiran itu lebih tinggi berbanding di Malaysia," katanya.

Harga standard gula pasir di Thailand RM2.08 sekilogram berbanding harga runcit di negara itu kira-kira RM2.50 sekilogram.

Di Malaysia pula, ia dijual RM1.45 sekilogram kerana sudah disubsidi oleh kerajaan.

Mohd. A. Aruwan memberi jaminan, bahawa bekalan gula di negeri ini semakin stabil berikutan beberapa langkah segera yang diambil untuk mengatasi masalah tersebut.

"Bagi menstabilkan bekalan kita telah mengedar 65 tan (65,000 kilogram) gula kepada peruncit di Perlis pada Isnin lalu diikuti 36 tan (36,000 kilogram) semalam," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan para pengguna agar tidak panik dengan situasi berkenaan sehingga membeli gula melebihi keperluan semasa.

Mohd. A. Aruwan juga meminta peniaga, pemborong dan peruncit agar tidak membuat simpanan gula ekoran spekulasi kononnya bahan itu akan dinaikkan harga tidak lama lagi.

"Kami akan meneruskan pemeriksaan dari semasa ke semasa terutama bertindak tegas terhadap peniaga yang menjual gula melebihi harga siling," katanya.