
http://nazlank.blogspot.com/
![]() |
| Pasangan yang ingin berkahwin disaran melakukan pemeriksaan darah bagi mengelak anak-anak yang bakal lahir menghidap talasemia. - Gambar hiasan |
PERASAAN hairan dan ingin tahu pasti menghantui seseorang ibu apabila melihat bayinya yang berusia enam bulan masih tidak boleh merangkak dan juga meniarap hanya kerana terlalu kerap demam.
Malah anak itu juga tidak seaktif bayi lain yang seusianya, sebaliknya hanya terbaring dengan keadaan muka pucat dan tubuh tidak bermaya.
Setelah menjalani pemeriksaan rapi, doktor mengesahkan bayi tersebut menghidap Talasemia Major.
Apa yang lebih menyedihkan, selepas ayah dan ibu menjalani pemeriksaan darah, doktor mengesahkan mereka sebagai pembawa penyakit berkenaan.
Walaupun talasemia bukan penyakit berjangkit kerana ia tidak membabitkan sebarang kuman atau virus, tetapi ia adalah penyakit keturunan yang membabitkan pengeluaran sel darah merah dalam tubuh manusia.
Menurut Presiden Persatuan Talasemia Malaysia, Datuk Dr. Zulkifli Ismail, kekurangan itu boleh mengakibatkan kanak-kanak yang biasanya menjadi pesakit mengalami pertumbuhan tidak normal serta kesan terhadap fungsi jantung.
Di Malaysia saja, terdapat kira-kira 2,000 pesakit menghidap talasemia yang merupakan penyakit genetik melibatkan sel-sel darah merah.
Bahkan Talasemia adalah penyakit keturunan yang paling kerap ditemui di negara ini dengan tiga hingga lima peratus atau lima daripada 100 orang menjadi pembawa penyakit tersebut.
Tambah Dr. Zulkifli lagi, kanak-kanak menghidap talasemia kebiasaan menunjukkan gejala seperti wajah menjadi pusat serta perut kelihatan buncit.
"Puncanya adalah kekurangan satu zat pembentuk hemoglobin (Hb) sehingga menyebabkan pengeluaran Hb berkurang.
"Untuk terus hidup, pesakit perlu menjalani pemindahan darah memandangkan sel darah merah mereka mudah pecah menyebabkan pesakit mengalami kekurangan darah,'' katanya ketika memberi penerangan mengenai Talasemia di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Dr. Zulkifli memberitahu, untuk mengelak daripada penyakit ini 'hadir tanpa dijemput' seharusnya generasi muda mengetahui status dirinya yang sebenar sebelum berkahwin.
"Lebih membimbangkan, penyakit ini menyebabkan penghidapnya menderita sepanjang hayat,'' ujarnya.
Tambahnya lagi, kenapa perlu anak-anak ini hadir ke dunia jika mereka terpaksa menderita sepanjang hayat.
"Apa akan jadi kepada generasi negara ini pada masa akan datang, jika kita terus melahirkan mereka?,'' tegasnya.
Lebih menderita katanya lagi, setiap pesakit perlu menerima rawatan yang perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat minggu sekali bagi mengekalkan tahap Hb paling normal.
Namun apa yang lebih menakutkan lagi, Dr. Zulkifli berkata, jangka hayat mereka juga tidak panjang.
Justeru, beliau menyarankan, bagi mengenal pasti sama ada individu itu adalah pembawa talasemia atau sebaliknya, perkara harus dilakukan ialah menjalani ujian darah.
Katanya lagi, langkah itu dianggap terbaik buat masa ini bagi mencegah penyakit talasemia daripada terus 'diwarisi' dari satu generasi ke generasi yang baru.
Ini berikutan, benih talasemia boleh dibawa oleh sesiapa saja, tidak kira jantina atau keturunannya.
"Penyakit talasemia boleh dicegah dengan cara mengelak daripada berkahwin dengan pasangan pembawa penyakit berkenaan," katanya.
Kaedah berkenaan menurut Zulkifli, digunakan untuk mengurangkan risiko penyakit itu di sesetengah negara yang mempunyai kadar pembawa penyakit talasemia lebih tinggi.
"Ujian darah seumpama itu biasanya dilakukan sebelum pasangan berkahwin. Apabila pasangan terbabit mengetahui status penyakit itu, mereka boleh diberi penjelasan mengenai risiko penyakit yang mungkin dihidapi oleh anak serta keturunan mereka," ujarnya.
Langkah itu juga katanya, didapati berkesan dan boleh mengurangkan kadar penyakit terbabit hingga lebih 90 peratus kewujudan pesakit baru.
Tambah beliau, masyarakat tidak harus malu jika dikenal pasti pembawa talasemia. Sebaliknya langkah mereka membuat ujian darah adalah untuk kebaikan semua.
![]() |
| PENGERUSI Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Perlis, Sabry Ahmad (kanan) bertanya sesuatu kepada Pengurus Pasaraya Sri Sena, Abdul Aziz Safar mengenai kehabisan stok gula di Kangar, Perlis, kelmarin. |
KANGAR 5 Ogos - Spekulasi kononnya harga gula akan dinaikkan dalam masa terdekat, dikenal pasti menjadi salah satu faktor sehingga berlakunya kekurangan bekalan gula di Perlis.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Mohd. A. Aruwan Ab. Aziz berkata, ekoran spekulasi itu menyebabkan pengguna di negeri ini tidak mendapat bekalan di tahap normal.
"Disebabkan percaya kepada spekulasi tersebut, ia mendorong sesetengah pihak membeli bekalan dalam kuantiti agak besar sebagai persediaan awal menghadapi kenaikan harga gula.
"Itu merupakan salah satu daripada empat sebab yang kami peroleh sehingga Perlis menghadapi masalah bekalan gula sekarang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Faktor kedua pula, katanya, pengusaha industri makanan dan minuman yang berasaskan gula, membeli gula dalam jumlah terlalu besar atas faktor perniagaan selepas terpengaruh dengan spekulasi yang sama.
"Faktor ketiga pula yang menyebabkan berlakunya kekurangan gula pasir di pasaran Perlis adalah kerana permintaan berganda menjelang Aidilfitri.
"Sementara itu, penyebab keempat pula adalah penyeludupan ke Thailand kerana harga bahan tersebut di negara jiran itu lebih tinggi berbanding di Malaysia," katanya.
Harga standard gula pasir di Thailand RM2.08 sekilogram berbanding harga runcit di negara itu kira-kira RM2.50 sekilogram.
Di Malaysia pula, ia dijual RM1.45 sekilogram kerana sudah disubsidi oleh kerajaan.
Mohd. A. Aruwan memberi jaminan, bahawa bekalan gula di negeri ini semakin stabil berikutan beberapa langkah segera yang diambil untuk mengatasi masalah tersebut.
"Bagi menstabilkan bekalan kita telah mengedar 65 tan (65,000 kilogram) gula kepada peruncit di Perlis pada Isnin lalu diikuti 36 tan (36,000 kilogram) semalam," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan para pengguna agar tidak panik dengan situasi berkenaan sehingga membeli gula melebihi keperluan semasa.
Mohd. A. Aruwan juga meminta peniaga, pemborong dan peruncit agar tidak membuat simpanan gula ekoran spekulasi kononnya bahan itu akan dinaikkan harga tidak lama lagi.
"Kami akan meneruskan pemeriksaan dari semasa ke semasa terutama bertindak tegas terhadap peniaga yang menjual gula melebihi harga siling," katanya.
PUTRAJAYA 29 Julai - Malaysia mencatatkan kes kematian keempat akibat selesema babi atau influenza A (H1N1) dengan mangsa terbaru seorang perempuan dari Melaka berusia 20 tahun.
Sehubungan itu, wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran angka kematian akibat H1N1 di negara ini mungkin meningkat pada kadar yang membimbangkan sekiranya usaha berjaga-jaga tidak diambil oleh semua pihak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, mangsa H1N1 keempat yang meninggal dunia semalam telah mengalami tanda-tanda influenza sejak 16 Julai lalu tetapi hanya mendapatkan rawatan di Hospital Melaka pada 26 Julai.
''Imbasan sinar X seterusnya mendapati pesakit ini mengalami pneumonia yang serius, dia dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami sesak nafas dan memerlukan alat bantuan pernafasan.
''Pesakit didapati mengalami pelbagai komplikasi klinikal pada 27 Julai, dia disahkan menghidap H1N1 semalam dan meninggal dunia pada hari yang sama disebabkan pneumonia yang serius," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa teknikal wabak influenza A (H1N1) di sini hari ini.
Mohd. Ismail kecewa dengan sikap sesetengah pegawai perubatan dan pesakit yang kurang kesedaran mengenai penularan dan bahaya H1N1.
''Terdapat pesakit yang enggan mendapatkan rawatan walaupun dipujuk oleh ahli keluarga mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka terlambat untuk menerima rawatan sehingga membawa kepada kematian,'' katanya.
Selain itu, beliau mengingatkan para doktor perlu mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dan mengesyaki seseorang itu dijangkiti H1N1 sekiranya mengalami tanda-tanda pneumonia.
Beliau berkata, jangkitan H1N1 boleh mengakibatkan pneumonia yang teruk khasnya ke atas pesakit yang mempunyai masalah kegemukan, diabetes, penyakit pernafasan serta imuniti yang rendah seperti penghidap HIV dan kanser.
''Pegawai perubatan justeru perlu mengambil sampel tekak pesakit yang menunjukkan tanda-tanda pneumonia serius dan rawatan antiviral perlu dimulakan dengan segera.
''Kita juga memutuskan untuk menggandakan dos antiviral ke atas pesakit pneumonia yang disyaki dijangkiti virus H1N1," katanya.
Mohd. Ismail berkata, Kementerian Kesihatan pada masa yang sama memutuskan supaya ujian makmal ke atas virus H1N1 diperluaskan ke semua hospital negeri untuk mempercepatkan proses pengesahan pesakit.
''Sebanyak 21 buah hospital swasta juga akan dibekalkan dengan ubat antiviral influenza, ini bermakna tidak timbul alasan untuk mereka menolak pesakit yang disyaki mengalami H1N1," katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Ismail bekata, sebanyak 47 kes baru H1N1 disahkan menjadikan kini sebanyak 1,266 kes terkumpul dengan empat kematian di negara ini.
''Daripada jumlah itu, 55 peratus merupakan kes jangkitan tempatan iaitu mengatasi kes import.
''Kes jangkitan di dunia juga terus meningkat sebanyak 169,753 kes terkumpul dan 1,125 kes kematian," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, WHO memuji Malaysia kerana telah menjalankan segala langkah pencegahan penularan wabak yang sepatutnya.
''Wakil WHO bagaimanapun menjangkakan jumlah kematian akibat H1N1 di negara ini akan terus meningkat pada satu angka yang membimbangkan jika kita tidak berjaga-jaga dengan penularan wabak ini," katanya.
![]() |
| |
| |
KUALA LUMPUR - Penularan pandemik selesema babi (H1N1) di negara ini semalam telah mengorbankan satu lagi nyawa iaitu seorang lelaki warga Malaysia berusia 42 tahun yang menjadikannya mangsa ketiga setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, lelaki itu disahkan menghidap penyakit itu Khamis lalu.
"Lelaki itu yang mengalami pelbagai komplikasi meninggal dunia pada pukul 4.40 petang 27 Julai lalu disebabkan pneumonia yang serius dengan kegagalan beberapa organ setelah 10 hari mendapatkan rawatan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Tiong Lai yang kecewa dengan perkembangan itu berkata, semua klinik dan hospital di negara ini seharusnya mengambil langkah segera dalam mengesan pesakit yang dijangkiti H1N1 bagi membolehkan rawatan segera diberikan.
"Jadi saya ingin menggesa semua klinik dan hospital sentiasa berwaspada, lebih efektif dan mengambil tindakan serta langkah segera dalam mana-mana kes yang disyaki H1N1," tegasnya.

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Malaysia berumur 46 tahun yang bekerja di Belgium mati akibat selesema babi (H1N1) tengah hari kelmarin menjadikannya mangsa kedua yang meninggal dunia akibat pandemik itu di Malaysia setakat ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd. Ismail Merican, lelaki itu telah berada di Malaysia pada 4 Julai lalu dan pada mulanya sihat sehingga beliau bercuti bersama keluarganya di Langkawi pada 13 Julai lalu.
"Sekembali dari Langkawi, beliau telah mendapat rawatan di hospital swasta di Petaling Jaya pada 16 Julai 2009. Pemeriksaan x-ray dada telah menunjukkan beliau mengalami pneumonia.
"Lelaki tersebut yang telah mengalami pelbagai komplikasi meninggal dunia pada 26 Julai 2009 pukul 12.35 tengah hari dan penyebab kematian dicatatkan sebagai pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan dengan kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebelum ini, seorang pelajar lelaki tahun pertama warga Indonesia berusia 30 tahun yang dijangkiti H1N1 meninggal dunia pada 21 Julai lalu.
PUTRAJAYA 16 Julai – Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diputuskan Kabinet minggu lalu adalah muktamad.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun ada gesaan supaya dasar itu dikekalkan di peringkat sekolah menengah, namun pendirian kerajaan adalah konsisten dengan tidak mengekalkan status quonya.
Cuma, tegas beliau, yang penting selepas ini adalah mencari kaedah memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.
Ini termasuk memanggil pakar-pakar bahasa Inggeris dalam masa terdekat untuk memberi input membentuk kurikulumnya yang baru.
‘‘Setiap keputusan (Kabinet) mestilah konsisten, mungkin ada rasionalnya (sesuatu pandangan atau gesaan) kerana ia berdasarkan pengalaman.
‘‘Dan saya tidak kata ia (cadangan itu) tidak bagus tetapi dalam konteks ini, kita mestilah konsisten selepas membuat sesuatu keputusan yang cukup besar (memansuhkan PPSMI),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 Kementerian Pelajaran kepada 396 kakitangan dan pegawai kumpulan pengurusan, profesional dan sokongan di sini hari ini.
Kabinet pada mesyuaratnya 8 Julai lalu memutuskan bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.
Serentak itu, diumumkan juga strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.
MCA baru-baru ini menggesa supaya PPSMI dikekalkan di peringkat sekolah menengah walaupun bersetuju status quonya ditarik balik di sekolah rendah.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, sebagai pengurus pendidikan, warga Kementerian Pelajaran perlu sentiasa proaktif, responsif dan bersedia untuk menangani perubahan dengan merangka dasar dan strategi sesuai dengan keperluan semasa.
Tegas beliau, mereka tidak boleh lagi berpuas hati dengan pendekatan dan strategi sedia ada.
‘‘Ini termasuklah kurikulum bahasa Inggeris yang perlu dimantapkan selaras dengan strategi pemantapan bahasa Inggeris yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran bermula 2012.
‘‘Murid di negara ini, baik di bandar mahupun di luar bandar, perlu dipastikan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.
| 100 hari jadi PM: Hadiah dari Najib | ||
|
![]() |
![]() |

JEBEL AL-KASHEF - Penduduk Gaza yang kehilangan rumah akibat serangan tentera Israel kini menunggu bantuan kemanusiaan.
Sebelum ini kerajaan Hamas yang menguasai Gaza berjanji untuk memberi pampasan kepada penduduk yang rumah mereka musnah dan anggota keluarga tersayang terbunuh.
Pihak berkuasa Hamas merancang untuk mengagih-agihkan bantuan AS$5,200 (RM18,847) kepada setiap keluarga yang rumah mereka musnah.
Hamas turut berjanji untuk memberikan bantuan sebanyak AS$1,300 (RM4,711) kepada setiap keluarga yang kehilangan orang tersayang akibat serangan tentera Israel.
"Mereka (pemimpin-pemimpin Hamas) bercakap untuk memberikan kami bantuan tetapi kami masih belum menerimanya," kata seorang penduduk, Abed Raboo.
Tentera Israel melakukan serangan besar-besaran di Gaza pada 27 Disember lalu sebelum berakhir pada 17 Januari lepas dengan alasan menghapuskan pejuang Hamas yang melancarkan serangan roket ke wilayah Yahudi.
Menurut perangkaan Pihak Berkuasa Palestin, kerugian akibat serangan tentera Israel adalah berjumlah AS$1.9 bilion (RM6.88 bilion).
Dalam serangan itu, lebih 1,330 penduduk Palestin terbunuh.
Usaha-usaha bagi membina semula Gaza mungkin terjejas berikutan konflik antara Israel dengan Palestin yang masih belum selesai di mana Gaza dihalang daripada menerima barangan asas sejak Hamas mentadbir wilayah Palestin itu. - AFP
Get your own Digital Clock![]()