Thursday, July 30, 2009

H1N1 catat kematian keempat

PUTRAJAYA 29 Julai - Malaysia mencatatkan kes kematian keempat akibat selesema babi atau influenza A (H1N1) dengan mangsa terbaru seorang perempuan dari Melaka berusia 20 tahun.

Sehubungan itu, wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran angka kematian akibat H1N1 di negara ini mungkin meningkat pada kadar yang membimbangkan sekiranya usaha berjaga-jaga tidak diambil oleh semua pihak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, mangsa H1N1 keempat yang meninggal dunia semalam telah mengalami tanda-tanda influenza sejak 16 Julai lalu tetapi hanya mendapatkan rawatan di Hospital Melaka pada 26 Julai.

''Imbasan sinar X seterusnya mendapati pesakit ini mengalami pneumonia yang serius, dia dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami sesak nafas dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

''Pesakit didapati mengalami pelbagai komplikasi klinikal pada 27 Julai, dia disahkan menghidap H1N1 semalam dan meninggal dunia pada hari yang sama disebabkan pneumonia yang serius," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa teknikal wabak influenza A (H1N1) di sini hari ini.

Mohd. Ismail kecewa dengan sikap sesetengah pegawai perubatan dan pesakit yang kurang kesedaran mengenai penularan dan bahaya H1N1.

''Terdapat pesakit yang enggan mendapatkan rawatan walaupun dipujuk oleh ahli keluarga mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka terlambat untuk menerima rawatan sehingga membawa kepada kematian,'' katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan para doktor perlu mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dan mengesyaki seseorang itu dijangkiti H1N1 sekiranya mengalami tanda-tanda pneumonia.

Beliau berkata, jangkitan H1N1 boleh mengakibatkan pneumonia yang teruk khasnya ke atas pesakit yang mempunyai masalah kegemukan, diabetes, penyakit pernafasan serta imuniti yang rendah seperti penghidap HIV dan kanser.

''Pegawai perubatan justeru perlu mengambil sampel tekak pesakit yang menunjukkan tanda-tanda pneumonia serius dan rawatan antiviral perlu dimulakan dengan segera.

''Kita juga memutuskan untuk menggandakan dos antiviral ke atas pesakit pneumonia yang disyaki dijangkiti virus H1N1," katanya.

Mohd. Ismail berkata, Kementerian Kesihatan pada masa yang sama memutuskan supaya ujian makmal ke atas virus H1N1 diperluaskan ke semua hospital negeri untuk mempercepatkan proses pengesahan pesakit.

''Sebanyak 21 buah hospital swasta juga akan dibekalkan dengan ubat antiviral influenza, ini bermakna tidak timbul alasan untuk mereka menolak pesakit yang disyaki mengalami H1N1," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Ismail bekata, sebanyak 47 kes baru H1N1 disahkan menjadikan kini sebanyak 1,266 kes terkumpul dengan empat kematian di negara ini.

''Daripada jumlah itu, 55 peratus merupakan kes jangkitan tempatan iaitu mengatasi kes import.

''Kes jangkitan di dunia juga terus meningkat sebanyak 169,753 kes terkumpul dan 1,125 kes kematian," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, WHO memuji Malaysia kerana telah menjalankan segala langkah pencegahan penularan wabak yang sepatutnya.

''Wakil WHO bagaimanapun menjangkakan jumlah kematian akibat H1N1 di negara ini akan terus meningkat pada satu angka yang membimbangkan jika kita tidak berjaga-jaga dengan penularan wabak ini," katanya.

Wednesday, July 29, 2009

H1N1 Catat kematian ketiga







KUALA LUMPUR - Penularan pandemik selesema babi (H1N1) di negara ini semalam telah mengorbankan satu lagi nyawa iaitu seorang lelaki warga Malaysia berusia 42 tahun yang menjadikannya mangsa ketiga setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, lelaki itu disahkan menghidap penyakit itu Khamis lalu.

"Lelaki itu yang mengalami pelbagai komplikasi meninggal dunia pada pukul 4.40 petang 27 Julai lalu disebabkan pneumonia yang serius dengan kegagalan beberapa organ setelah 10 hari mendapatkan rawatan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tiong Lai yang kecewa dengan perkembangan itu berkata, semua klinik dan hospital di negara ini seharusnya mengambil langkah segera dalam mengesan pesakit yang dijangkiti H1N1 bagi membolehkan rawatan segera diberikan.

"Jadi saya ingin menggesa semua klinik dan hospital sentiasa berwaspada, lebih efektif dan mengambil tindakan serta langkah segera dalam mana-mana kes yang disyaki H1N1," tegasnya.

Tuesday, July 28, 2009

Korban kedua H1N1 - Tiga Kem PLKN ditutup, alat cegah selesema babi diedar ke sekolah


PETUGAS Unit Kesihatan UniMAP memberi penerangan tentang H1N1 kepada pelajar kolej kediaman universiti itu di Kuala Perlis semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Malaysia berumur 46 tahun yang bekerja di Belgium mati akibat selesema babi (H1N1) tengah hari kelmarin menjadikannya mangsa kedua yang meninggal dunia akibat pandemik itu di Malaysia setakat ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd. Ismail Merican, lelaki itu telah berada di Malaysia pada 4 Julai lalu dan pada mulanya sihat sehingga beliau bercuti bersama keluarganya di Langkawi pada 13 Julai lalu.

"Sekembali dari Langkawi, beliau telah mendapat rawatan di hospital swasta di Petaling Jaya pada 16 Julai 2009. Pemeriksaan x-ray dada telah menunjukkan beliau mengalami pneumonia.

"Lelaki tersebut yang telah mengalami pelbagai komplikasi meninggal dunia pada 26 Julai 2009 pukul 12.35 tengah hari dan penyebab kematian dicatatkan sebagai pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan dengan kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, seorang pelajar lelaki tahun pertama warga Indonesia berusia 30 tahun yang dijangkiti H1N1 meninggal dunia pada 21 Julai lalu.

Friday, July 24, 2009

Melaka





Bersiar-siar di Bandar bersejarah Melaka, perjalanan pulang singgah sebentar di Afarmosa Waterworld

Port Dickson




Friday, July 17, 2009

Mansuh PPSMI muktamad – TPM

PUTRAJAYA 16 Julai – Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diputuskan Kabinet minggu lalu adalah muktamad.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun ada gesaan supaya dasar itu dikekalkan di peringkat sekolah menengah, namun pendirian kerajaan adalah konsisten dengan tidak mengekalkan status quonya.

Cuma, tegas beliau, yang penting selepas ini adalah mencari kaedah memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

Ini termasuk memanggil pakar-pakar bahasa Inggeris dalam masa terdekat untuk memberi input membentuk kurikulumnya yang baru.

‘‘Setiap keputusan (Kabinet) mestilah konsisten, mungkin ada rasionalnya (sesuatu pandangan atau gesaan) kerana ia berdasarkan pengalaman.

‘‘Dan saya tidak kata ia (cadangan itu) tidak bagus tetapi dalam konteks ini, kita mestilah konsisten selepas membuat sesuatu keputusan yang cukup besar (memansuhkan PPSMI),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 Kementerian Pelajaran kepada 396 kakitangan dan pegawai kumpulan pengurusan, profesional dan sokongan di sini hari ini.

Kabinet pada mesyuaratnya 8 Julai lalu memutuskan bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Serentak itu, diumumkan juga strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.

MCA baru-baru ini menggesa supaya PPSMI dikekalkan di peringkat sekolah menengah walaupun bersetuju status quonya ditarik balik di sekolah rendah.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, sebagai pengurus pendidikan, warga Kementerian Pelajaran perlu sentiasa proaktif, responsif dan bersedia untuk menangani perubahan dengan merangka dasar dan strategi sesuai dengan keperluan semasa.

Tegas beliau, mereka tidak boleh lagi berpuas hati dengan pendekatan dan strategi sedia ada.

‘‘Ini termasuklah kurikulum bahasa Inggeris yang perlu dimantapkan selaras dengan strategi pemantapan bahasa Inggeris yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran bermula 2012.

‘‘Murid di negara ini, baik di bandar mahupun di luar bandar, perlu dipastikan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

Saturday, July 11, 2009

100 hari jadi PM

100 hari jadi PM: Hadiah dari Najib
Jul 11, 09 2:57pm
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membuat 11 pengumuman "mesra rakyat" sempena genap 100 hari beliau menjadi perdana menteri, antaranya pemberian diskaun kepada pengguna jalan bertol, peluang pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan rendah, pengurangan caj bayaran latihan penunggang motosikal serta satu tabung unit amanah baru.

Berucap di majlis "100 Hari Najib Bersama Rakyat" di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibunegara, perdanamMenteri berkata, untuk meringankan beban pengguna lebuh raya yang menggunakan kad prabayar Smart Tag dan Touch 'n Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, mereka akan layak menerima diskaun 20 peratus.

Najib berkata ini adalah satu keputusan atau penyelesaian sementara sahaja, sementara menunggu kajian keseluruhan mengenai kadar tol yang menurutnya akan mengambil masa, lapor Bernama.

Katanya beliau pernah diberitahu oleh seorang pengguna jalan bertol yang dirinya terpaksa membayar tol lebih kurang RM300 sebulan manakala gaji bulanannya RM3,000, yang menurut Perdana Menteri: "Orang ini hanya mendapat gaji 11 bulan sahaja setahun, kerana gaji satu bulan lagi habis dibelanjakan untuk pembayaran tol setahun.

"Ini (diskaun) saya percaya akan memberi kelegaan pada rakyat terutamanya yang menggunakan jalan tol setiap hari," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh lebih 5,000 hadirin di dalam dan luar pusat konvensyen itu yang penuh sesak.

Dalam ucapan hampir 50 minit yang dimulakan tepat 11.11 pagi yang menandakan 11 Julai, genap 100 hari menjadi perdana menteri selepas dilantik pada 3 April lalu, Najib juga mengumumkan penyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Wilayah Persekutuan akan diberi peluang dan pilihan untuk membeli rumah di bawah program tersebut.

Katanya sejumlah 44,000 unit rumah ditawarkan yang memberi peluang golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Potongan 50 peratus

Satu lagi pengumuman melibatkan masyarakat penjaja dan peniaga kecil, di mana mereka akan menikmati potongan 50 peratus bagi pembaharuan lesen dan lesen baru.

Najib berkata ia bagi memenuhi permohonan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia bagi pengurangan bayaran lesen yang dikemukakan kepada beliau pada satu majlis di Tanjung Karang, Selangor bulan lalu.

"Ini akan memberi banyak kelegaan...saya harap negeri-negeri lain akan ikut langkah di Wilayah Persekutuan ini. Mudah-mudahan (bayaran) lesen-lesen lain juga akan dikurangkan," katanya.

Selain itu Najib turut mengumumkan kerajaan akan menambah 3,000 lagi permit teksi untuk individu dalam masa tiga bulan ini, pertambahan daripada 7,000 permit teksi individu yang telah diberikan setakat ini.

Menurutnya, dasar membantu pemandu teksi dibuat memandangkan pada masa sekarang terdapat ramai pemandu teksi yang terpaksa menyewa harian dengan pembayaran seperti RM50 sehari, di samping kos lain seperti minyak.

Najib juga mengumumkan bahawa caj bayaran latihan untuk penunggang motosikal kelas B2 iaitu 250 cc ke bawah dikurang menjadi RM211 seorang.

Menurutnya beliau mendapati ramai penunggang terutama anak-anak muda yang "ke hulu dan ke hilir dengan motosikal kapcai" tidak memiliki lesen memandu kerana kos mendapatkan lesen termasuk latihan adalah tinggi, di antara RM500-RM700 seorang.

Amanah saham 1Malaysia


"Setelah berunding dengan sekolah-sekolah memandu, caj (kadar) bayaran latihan (belajar) dikurang kepada RM211. Dan berdasar riak tadi, saya membayangkan memang tepat keputusan tadi," katanya sebagai mengulas reaksi tepukan gemuruh daripada ramai hadirin sebaik sahaja beliau mengumumkan pengurangan itu.

Perdana menteri juga mengumumkan bahawa menjelang 2010, seramai 10,000 isi rumah miskin tegar di bandar akan diberi 10,000 unit Skim Amanah Saham Wawasan untuk isi rumah di bawah senarai E-Kasih dalam usaha memerangi kemiskinan bandar.

Najib juga berkata satu lagi tabung unit amanah baru dinamakan "Amanah Saham 1Malaysia" akan dilancarkan sedikit masa lagi dengan saiz sehingga 10 bilion unit.

Ia dibuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, katanya.

Najib juga mengumumkan peruntukan skim TEKUN ditambah RM150 juta lagi dan juga mengumumkan peruntukan RM15 juta khusus untuk program pembangunan usahawan muda kaum India di negara ini.

Selain itu, beliau juga mengumumkan kerajaan akan mengambil langkah-langkah drastik ke arah mengurangkan jenayah dan rasuah di negara ini, dan maklumat mengenainya akan diumumkan hujung bulan ini.

Pendaftaran kelahiran


Satu lagi pengumuman hari ini adalah berkaitan pendaftaran kelahiran, yang menurutnya ramai juga yang lambat mendaftarkan kelahiran dan kerajaan akan terus mempergiatkan usaha memperbaiki keadaan itu.

Najib berkata di Sabah, semenjak 2005, sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran telah diterima dan daripada jumlah itu 92 peratus diluluskan.

Di Sarawak pula, semenjak 2005, sebanyak 19,000 permohonan telah diterima dan dari jumlah itu, 80 peratus permohonan telah diluluskan.

Dalam pengumuman mengenai kewarganegaraan pula, Najib berkata, jumlah permohonan tertangguh pada 1 November 2008 adalah 34,000, dan sehingga bulan lalu, 46 peratus telah selesai dibuat keputusan dan usaha akan dipergiatkan lagi untuk menyelesaikan baki permohonan.

Di majlis itu, Najib turut membuat pengumuman mengenai infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di kedua-dua negeri, daripada 750 kilometer yang dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sekarang kepada 1,500 kilometer dalam tempoh RMK-10.

Dalam konteks infrastruktur ini, Najib juga berkata liputan bekalan air
minum yang kini berada pada tahap 52 peratus di Sabah dan 61 peratus di Sarawak, akan dipertingkatkan, begitu juga bekalan elektrik, dan pengumuman mengenainya akan dibuat hujung bulan ini.

Najib yang menyifatkan majlis hari ini sebagai "perjumpaan yang sangat bersejarah" berkata keputusan yang dibuat itu adalah "keputusan istimewa untuk rakyat Malaysia".

"Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan serta anak-anak muda sekalian untuk bersama-sama saya melakar masa depan Malaysia yang menjanjikan peluang yang lebih baik dan adil untuk semua dengan satu harapan," katanya.